SALAM PERKENALAN


Salam perkenalan, salam selamat datang dan terima kasih kerana mengunjungi laman sesawang http://pomizi-research.blogspot.com. Semoga laman ini dapat memberi input yang  berguna kepada guru-guru untuk mengenal dan berjinak-jinak dalam kajian tindakan. Laman ini telah mengungkap secara umum tentang penyelidikan   tindakan dan memberi juga garis panduan bagaimana seseorang guru itu ingin melaksanakan kajian tindakan di sekolah khususnya, guru-guru yang berkhidmat di negeri Selangor dan di Malaysia umumnya.




SEJARAH KAJIAN TINDAKAN

Konsep 'kajian tindakan' telah dipelopori oleh John Dewey di Amerika Syarikat pada tahun 1920an, tetapi tidak mendapat sambutan sehinggalah selepas perang dunia kedua. Pada tahun 1946, seorang ahli psikologi sosial, Kurt Lewin mula menggunakan pendekatan kajian tindakan dalam usaha menyelesaaikan masalah komuniti setempat. Perkembangan pelaksanaan penyelidikan tindakan dalam bidang pendidikan pula telah dipelopori oleh Steven Corey dari Kolej Guru, Universiti Columbia, Amerika Syarikat pada tahun 1953 apabila beliau menggunakan kajian tindakan sebagai pendekatan dalam projek penyelidikan guru-guru di sekolah. Kajian tindakan ketika itu telah didefinisikan sebagai proses penyelidikan amalan kendiri bagi menyelesaikan masalah dalaman guru.

Dalam tahun 1970an, kajian tindakan telah mendapat perhatian antarabangsa apabila Lawrence Stenhouse memperkenalkan konsep guru sebagai penyelidik, melalui dua projek penyelidikan iaitu (i) Humanities Curriculum Project (HCP) pada tahun 1975 dan (ii) Research as a Basic for Teaching pada tahun 1978 di Norwich, England. Seterusnya pada tahun 1976, John Elliot dan Clem Adelman dalam Ford Teaching Project telah memperkembangkan lagi konsep guru sebagai penyelidik apabila memperkenalkan pula pelaksanaan kajian tindakan dalam bilik darjah (classroom action research)

Di Australia, kajian tindakan digunakan sebagai pendekatan untuk membantu guru mengembangkan usaha inkuiri dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Pelopornya seperti Steven Kemmis menegaskan bahawa kajian tindakan adalah suatu pendekatan penyelidikan yang mampu mempertingkatkan profesionalisme guru (Kemmis & McTaggart,1988). Di Australia juga, Baird, Fensham, Gunstone, dan White (1989), melalui projek PEEL (Project for Enhancing Effective Learning) telah menjalankan kajian tindakan secara kolaboratif, di mana ahli akademik di pusat pengajian tinggi bekerjasama dengan guru secara berkumpulan bagi menjalankan kajian tindakan. Perkongsian antara konsultan luar dengan guru dilakukan atas andaian adalah sukar bagi guru melaksanakan peranan sebagai penyelidik di sekolah secara bersendirian.

Di Malaysia pula, kajian tindakan mula diperkenalkan kepada guru melalui program PIER (Project Innovation, Excellence and Research) yang dikendalikan oleh Kementerian Pelajaran pada tahun 1993. Pihak kementerian pada masa itu telah berusaha untuk menggalakkan budaya menyelidik dalam kalangan guru sekolah (Arfah, 1993; Jamil,2002).

Sehingga kini, tempat kajian tindakan dalam pendidikan adalah sangat jelas. Selepas lima tahun semenjak Lewin memperkenalkan idea kajian tindakan, genre ini telah berkembang dan berubah. Kajian tindakan dilihat sebagai penyelidikan yang berfungsi sebagai satu pelengkap (complementry) dan boleh bergabung dengan kaedah inkuiri yang lain. Sebagai contoh Stenhouse (1975) menyatakan bahawa kajian tindakan dan idea guru sebagai penyelidik merupakan idea beliau memperkenalkan cara untuk memperbaiki pendidikan melalui pemberian kuasa kepada guru dengan melibatkan mereka dalam pembentukan kurikulum.


   1  2  3  4  5  6  7  8  9  10