DEFINISI & JENIS

                                                  

DEFINISI KAJIAN TINDAKAN

Secara amnya kajian tindakan merujuk kepada penyelidikan ke atas amalan oleh pengamal, baik secara individu mahupun bersama pengamal lain; untuk mengubah dan menambah baik amalan sedia ada. Dalam bidang pendidikan, pengamal boleh terdiri daripada seorang guru, pentadbir atau seseorang kaunselor sekolah, atau individu lain yang terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Walau bagaimanapun, lazimnya kajian tindakan merujuk kepada penyelidikan yang dijalankan oleh guru untuk memperbaiki amalan dalam pengajaran dan pembelajaran. Misalnya, guru boleh menyelidik kaedah pengajaran dan bahan pengajaran yang digunakannya untuk meningkatkan lagi keberkesanan pengajarannya.



Guru juga boleh menjalankan penyelidikan ke atas para pelajarnya bagi mengenal pasti kesukaran yang dihadapi oleh mereka  dalam memahami sesuatu perkara atau topik yang diajar. Melalui penyelidikan yang dijalankan, guru akan beroleh maklumat bagi merangka suatu tindakan yang bakal diambil, diikuti oleh suatu penyemakan sama ada tindakan yang diambil itu berkesan atau tidak. Sekiranya tidak berkesan, maklumat baru akan dikumpul bagi membuat tindakan susulan dengan diikuti penyemakan seterusnya. Penyelidikan ini dijalankan secara berterusan sehinggalah penyelesaian ditemui untuk masalah yang dihadapi. Oleh  itu, kajian tindakan boleh dikatakan menghubungkan suatu penyelidikan dengan tindakan agar tindakan yang diambil oleh guru adalah tindakan yang berasaskan fakta atau maklumat yang diperoleh melalui penyelidikan yang dijalankan oleh guru sendiri sebagai pengamal.

Terdapat beberapa definisi yang sering dirujuk tentang kajian tindakan:

Elliot (1981) - Elliot menyifatkan kajian tindakan sebagai suatu kerangka penilaian kendiri (framework for self evaluation) dan pendekatan yang digunakan, mementingkan aktiviti refleksi dan inkuiri yang bertujuan untuk memperbaiki atau mengubah amalan kendiri dalam lingkungan situasi sosial yang terdiri daripada guru, pelajar, pentadbir, ibu bapa dan individu-individu lain yang berkepentingan. Menurutnya, kajian tindakan juga merupakan penyelidikan situasi sosial yang bertujuan untuk memperbaiki kualiti tindakan dalam lingkungan sendiri. Definisi yang selalu dijadikan rujukan, khususnya di Malaysia, ialah kajian tindakan guru berkaitan dengan permasalahan harian yang dilalui oleh guru, bukannya masalah teoritikal seperti mana yang dikemukakan oleh penyelidik akademik.

Ebbut (1985) - Ebbut mendefinisikan kajian tindakan sebagai suatu penyelidikan yang sistematik oleh sekumpulan pengamal terhadap usaha-usaha untuk mengubah dan memperbaiki amalan pendidikan  melalui tindakan praktis mereka sendiri serta refleksi terhadap kesan atau akibat tindakan tersebut.

McNiff (1988) - McNiff mendefinisikan kajian tindakan sebagai satu pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatkan kualiti pendidikan melalui perubahan dengan menggalakkan guru-guru menyedari amalan mereka sendiri, menjadi kritis terhadap amalan-amalan tersebut, dan bersedia untuk mengubahnya. Kajian ini melibatkan guru dalam inkuiri yang dijalankan oleh mereka, di samping melibatkan guru-guru lain.

Cochran & Lytle (1990) -  Cochran & Lytle mentakrifkan kajian tindakan sebagai penyelidikan berasaskan bilik darjah yang merupakan inisiatif guru dan dilaksanakan oleh guru. Penyelidikan yang dijalankan membolehkan guru meneroka isu-isu yang menarik perhatian mereka. Pendekatan ini juga membolehkan ilmu guru dijadikan sebahagian daripada literatur pendidikan dan seterusnya, secara tidak langsung, menyumbang ke arah pembinaan struktur pendidikan.

Kember & Gow (1992) - Kember & Gow menyatakan kajian tindakan melibatkan pengamal (guru) yang cuba membaiki pengajaran mereka melalui lingkaran yang melibatkan proses perancangan, pelaksanaan, pemerhatian, dan refleksi.

Calhoun (1993) - Calhoun menyatakan bahawa kajian tindakan boleh dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu kajian tindakan individu (individual action research), di mana kajian tindakan dilaksanakan oleh guru secara bersendirian; kajian tindakan kolaboratif (collaborative action research), iaitu penyelidikan yang dilaksanakan oleh sekumpulan guru dengan individu di institusi pengajian tinggi atau yang setaraf dengannya; school wide action research, iaitu penyelidikan yang melibatkan seluruh staf atau guru bersama konsortium sekolah.

McBride & Schostak (1994) - kajian tindakan merupakan refleksi tentang pengajaran sendiri yang dilakukan dalam satu putaran perubahan, di mana fokus utama adalah untuk memperbaiki amalan  kendiri.

JENIS KAJIAN TINDAKAN

Kajian tindakan boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu kajian tindakan teknikal (technical action research), kajian tindakan praktikal (practical action research) dan kajian tindakan bebas (emancipatory action research) (Carr & Kemmis 1986; Grundy 1982). Menurut pengkaji-pengkaji ini, tujuan kajian tindakan teknikal adalah lebih kepada keberkesanan dan kecekapan pendidikan atau lebih tertumpu kepada produk. Projek di bawah jenis ini (kajian tindakan jenis teknikal) dimulakan oleh pakar dari luar sebagai fasilitator dan pengamal-pengamal banyak bergantung pada fasilitator tersebut.

Kajian tindakan praktikal pula adalah melibatkan fasilitator dan pengamal menyelidik secara bersama dan mengalakkan penglibatan serta refleksi kendiri pengamal-pengamalnya. Sementara kajian tindakan bebas adalah masih melibatkan fasilitator dan pengamal penyelidik bersama secara kolaboratif. Kajian tindakan bebas menggalakkan  tanggungjawab dikongsi sama rata oleh pengamal  dan pengamal bebas daripada mengikut cara tradisi dan membuat keputusan demokrasi.

Bagi Calhoun (1993) pula, beliau membahagikan kajian tindakan kepada tiga senario iaitu kajian tindakan individu (individual action research), kajian tindakan kolaboratif (collaborative action research) dan kajian tindakan seluruh sekolah (schoowide action research). Kajian tindakan individu adalah kajian yang dilaksanakan secara individu manakala kajian tindakan kolaboratif pula dilaksanakan oleh kumpulan guru secara sukarela dengan pensyarah universiti. Kajian tindakan seluruh sekolah adalah kajian yang melibatkan seluruh kakitangan dan guru sekolah secara bersama melaksanakan kajian.

McNiff et al (2002) membahagikan kajian tindakan kepada tiga pendekatan iaitu, pertama, pendekatan interpretif (interpretive approaches) iaitu pendekatan yang mengakui kewujudan pengamal sebagai peserta kajian yang sebenar di dalam kajian; kedua, pendekatan teoritik kritikal (critical theoritic approaches) iaitu pendekatan yang membolehkan orang menjadi sedar tentang kekuatan sejarah dan budaya yang telah mempengaruhi mereka dan situasi serta proses membuat teori adalah terhad pada kenyataan secara retorik daripada wujud dalam amalan mereka sendiri; dan ketiga, pendekatan teori hidup (living theory approaches) iaitu pendekatan yang menggalakkan pengamal sendiri yang mengemukakan penghuraian dan penjelasan mereka bagi pembelajaran mereka sendiri.

Walau apapun jenis atau senario ataupun pendekatan kajian tindakan yang dikemukakan, tujuan utama seharusnya adalah untuk menambahbaikkan amalan secara sistematik. Malahan tiga jenis kajian tindakan yang diutarakan boleh dilihat sebagai peringkat-peringakat perkembangan dalam amalan kajian tindakan . Kajian tindakan boleh dimulakan dengan kajian tindakan teknikal, perlahan-perlahan berkembang kepada kajian tindakan praktikal dan seterusnya  kepada kajian tindakan bebas.

  1  2  3  4  5  6  7  8  9  10